Nurul Izzah lepaskan jawatan Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada PM

0
143

NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini memaklumkan bahawa beliau tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau akan menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican.

“Mohd Hassan telah mengundang saya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.

“Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini. Menerusi peranan baharu ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Nurul Izzah menjelaskan, beliau amat menghargai peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik.

“Saya mengambil kesempatan ini bagi menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dokongan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan.

“Rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan masa depan yang cemerlang dan penyatuan yang utuh dipimpin oleh Perdana Menteri bersama Kerajaan Perpaduan.

“Saya berharap khidmat membantu Tan Sri Mohd Hassan berserta anggota jawatankuasa lain mampu memberi manfaat kepada negara tercinta. Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jawatankuasa. Sama-samalah kita menyumbang dalam sebarang kapasiti demi negara kita,” katanya, lapor UtusanTV.

Nurul Izzah sebelum ini dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari 2023.

Anwar memberitahu anaknya tidak akan menerima sebarang elaun dan beliau sendiri mempelawa Nurul Izzah sebagai penasihat.

Terdahulu, Hassan dalam kenyataan memaklumkan, Nurul Izzah dijemput mengetuai secara bersama sekretariat untuk menyokong operasi Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan.

Sekretariat berkenaan terletak di Menara Berkembar PETRONAS dan berfungsi membantu jawatankuasa penasihat yang melapor terus kepada Menteri Kewangan dan akan bermesyuarat sekerap mungkin bergantung pada keperluan.

Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan telah mengadakan mesyuarat sulungnya pada 10 Februari 2023.

Ia akan menasihati Menteri Kewangan mengenai cara untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus, berkaitan subsidi, termasuk menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada, selain penyediaan perlindungan sosial lebih holistik.

Pembentukan sekretariat itu diumumkan Anwar pada 7 Februari lalu dan setiap anggotanya tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here