SWASLA bantu Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup ganja dari Thailand

0
213

Oleh RIZQI ZABIDI

SISTEM teknologi digunakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya membantu badan penguatkuasa tersebut mematahkan cubaan menyeludup ganja dari negara jiran pada kedudukan 2.9 batu nautika, barat laut Pulau Dangli di Langkawi, malam tadi.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kira-kira pukul 10.25 malam tadi, pihaknya mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot fiber menerusi Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) yang memasuki perairan negara dari sempadan Thailand dalam keadaan gelap.

“Sebuah got peronda yang sedang melaksanakan Op Aman digerakkan ke lokasi bagi memintas dan menyerbu bot fiber tersebut.

“Menedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia itu, suspek bertindak membuang satu bungkusan guni ke laut berpatah balik menuju ke negara jiran itu,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan dijalankan terhadap bungkusan guni berkenaan menemukan sembilan ketul ganja mampat diletakkan dalam balutan plastik berwarna emas.

“Dianggarkan kesemua ketulan ganja itu seberat sembilan kilogram bernilai RM45,000.

“Semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut di Langkawi sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya.

Katanya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pelanggaran undang-undang Persekutuan.

“Sebarang aduan dan maklumat serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here