Pesara swasta rugi lebih RM140,000 terpedaya penipuan kad kredit

0
188

SEORANG pesara swasta mengalami kerugian RM140,520 selepas terpedaya dengan taktik penipuan penggunaan kad kredit semalam.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata lelaki berusia 65 tahun itu telah menerima sistem pesanan ringkas (SMS) berkaitan penggunaan kad kredit pembelian barang yang tidak dilakukannya.

Beliau berkata mangsa kemudian telah berhubung dengan seorang individu yang mendakwa sebagai pegawai bank sebelum bertindak menyerahkan maklumat perbankan.

“Mangsa yang berasa takut telah menyerahkan nombor kad bank, Kod Kebenaran Transaksi (TAC) dan kad kredit seperti yang diminta suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, mangsa telah menyedari ditipu selepas menyemak akaun banknya dan terdapat pengurangan wang sebanyak RM140,520.

Dalam kes berlainan, Ramli memaklumkan seorang warga emas kerugian RM87,000 setelah ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.

Menurut beliau, wanita berusia 70 tahun itu mendakwa telah ditawarkan satu skim pelaburan menerusi aplikasi WhatsApp pada November lepas.

Katanya mangsa yang berminat dengan tawaran itu telah menggunakan wang simpanannya melakukan empat transaksi berjumlah RM87,000 sebelum menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan hasil keuntungan daripada akaun yang diberikan oleh suspek.

Kedua-dua mangsa telah membuat laporan masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Temerloh semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here