Ketua PAS Perak mohon maaf kepada Anwar berhubung dakwaan LGBT

0
240

KETUA PAS Perak Razman Zakaria memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini kerana mendakwa Anwar membenarkan amalan LGBT, dalam ceramah pada kempen pilihan raya tahun lepas.

Permohonan maafnya dibuat di Mahkamah Tinggi di sini sebagai sebahagian daripada penghakiman persetujuan untuk menyelesaikan kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Anwar terhadapnya.

Peguam Anwar, SN Nair berkata, anak guamnya bersetuju dengan penyelesaian itu sebagai tanda muhibah dan membiarkan perkara itu selesai “demi kepentingan semua pihak”.

“Apabila seorang individu menyesal (atas perbuatannya) dan memohon maaf dengan suci hati, seorang pemimpin yang baik budinya akan menerima permohonan maaf itu dan menarik balik saman,” kata Nair sambil menambah ,penyelesaian itu telah menyangkal tuduhan terhadap Anwar.

Saman itu difailkan pada 5 Dis berhubung dakwaan Razman bahawa Anwar berkata dalam ucapan kempennya beliau akan mempromosikan agenda LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis dan menyokong agenda komunis, jika menjadi perdana menteri.

Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan dan presiden PKR, bertanding sebagai Ahli Parlimen Tambun pada PRU-15 November tahun lepas.

Beliau menang dengan majoriti 3,736 undi, mengalahkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu dan dua calon lain. Anwar dilantik menjadi perdana menteri pada 24 Nov.

Razman ialah ADUN Gunong Semanggol dan ketua pembangkang di Perak.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Taiping itu, Anwar menuntut ganti rugi RM5 juta dan injunksi untuk menghalang Razman daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah terhadapnya.

Menurut pernyataan tuntutan, dakwaan Razman membayangkan bahawa Anwar telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Ahli Parlimen, juga seorang penipu, pengkhianat, munafik dan bukan orang Islam yang baik lapor FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here