Bot nelayan gajikan 23 warga asing tanpa kebenaran ditahan

0
181

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas mendapati pemiliknya menggajikan 23 kru warga asing tanpa kebenaran, di 5.8 batu nautika barat daya Pulau Kendi, dekat Georgetown malam tadi.

Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata pihaknya yang sedang menjalankan Ops Pertiwi menjalankan pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan kelas C berkenaan pada 8.09 malam.

“Pemeriksaan awal mendapati, bot nelayan itu dikendalikan oleh seorang tekong warga Thailand dan 22 kru warga Kemboja yang kesemuanya berusia 21 hingga 46 tahun.

“Seramai 13 daripada kru tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan pemilik bot juga didapati telah melakukan kesalahan kerana menggajikan 23 warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurutnya APMM Pulau Pinang tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap  pengusaha atau pemilik bot yang didapati masih berdegil menggunakan pendatang tanpa izin untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan serta amaran dibuat sebelum ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here