Pengarah syarikat didakwa sogok polis RM50,000

0
243

SEORANG pengarah syarikat dihadap ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas dua pertuduhan rasuah hanya kerana tidak mahu diambil tindakan kerana memiliki minyak subsidi tanpa lesen.

Memetik laporan UtusanTV, tertuduh, Keh Teck Chuan, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menawarkan RM50,000 kepada seorang lelaki yang merupakan seorang pegawai kanan polis yang bertugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa memberikan suapan RM50,550 kepada pegawai polis sama.

Perbuatan itu dilakukan dalam sebuah gudang di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang sekitar pukul 11 malam dan 11.10 malam, 1 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Justeru tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000.

Muaz turut mencadangkan syarat tambahan agar tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Peguam Regine Sin memohon jaminan dikurangkan antara RM30,000 hingga RM40,000 memandangkan tertuduh terpaksa menanggung kos rawatan ibunya di hospital.

Regine turut memaklumkan mahkamah bajawa pasport anak guamnya hilang dan telah membuat laporan polis berkenaan perkara itu.

Susulan itu, Hakim Norazlin membenarkan jaminan keseluruhan RM40,000 bersama serta syarat melaporkan diri setiap minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Selangor.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya pasport baharu dibuat selain menetapkan 9 Mac depan bagi sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here