Khairy mampu jadi MB di Selangor atau Negeri Sembilan – Wan Fayhsal

0
177

KHAIRY Jamaluddin (KJ) boleh menjadi Menteri Besar sama ada di Selangor atau Negeri Sembilan sekiranya menyertai Bersatu dan membantu Perikatan Nasional (PN) merampas negeri berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yakin kebolehan dan populariti Khairy atau KJ akan membolehkan PN menguasai Selangor dan Negeri Sembilan.

“Kehadiran Khairy mampu mewujudkan satu gelombang baharu kepada anak muda, khususnya pengundi atas pagar, bagi memberikan undi kepada PN dan berupaya memberi kemenangan merampas kedua-dua negeri daripada Pakatan Harapan (PH).

“Kalau UMNO anggap Khairy sebagai beban, tetapi Bersatu kita anggap dia satu kelebihan yang mampu mencetuskan gelombang baharu dalam politik Malaysia. Jadi kita sedia terima Khairy, kalau dia sedia terima lamaran kita.

“Tawaran masuk Bersatu? Presiden Bersatu, Tan Sri Muh­yiddin Yassin sudah awal-awal mengalukan jika KJ mahu sertai parti kita. Tetapi tidak tahu bagi pihak beliau sendiri… itu kena tanya beliau,” katanya menurut Utusan.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang yakin Bersatu dan PN bersedia memberi laluan kepada Khairy membabitkan mana-mana satu kerusi Dewan Undangan Nege­ri (DUN) di Selangor atau Negeri Sembilan jika beliau berminat untuk menyertai parti itu dalam masa terdekat.

Kelmarin, Khairy dilaporkan mempertimbangkan untuk bertanding di DUN Selangor dan ditawarkan menjadi Menteri Besar sekiranya menang, bagaimanapun beliau tidak menyebut mana-mana parti politik tertentu yang dikatakan memberi tawaran tersebut.

Ketika ditanya intipati pertemuan dengan Khairy baru-baru ini, Wan Ahmad Fayhsal enggan mengulas mengenai perkara itu sebaliknya orang ramai boleh menilai sendiri kenyataan bekas Menteri Kesihatan berhubung tawaran bertanding DUN Sela­ngor berkenaan.

Beliau menjelaskan dalam temuramah itu, Khairy memaklumkan terdapat perbincangan dengan beberapa pihak dan terdapat juga perbincangan me­ngenai tawaran itu.

“Tetapi PN dan Bersatu sudah pasti bersedia berikan Khairy untuk bertanding sama ada di Selangor atau Negeri Sembilan,” katanya.

Bagaimanapun Wan Ahmad Fayhsal menepis tanggapan sesetengah pihak bahawa PN sudah ketandusan pemimpin kerana menerima orang luar seperti Khairy untuk berada dalam parti.

“Politik ini umpama perlawanan bola sepak… kita kena import pemain luar untuk menang. Begitu juga dengan Khairy. Bagi UMNO dia sudah tidak berguna, tetapi bagi PN amat berguna demi masa depan Malaysia,” katanya.

27 Januari lalu, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dipecat daripada UMNO bersama bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dan beberapa pemimpin bahagian yang lain.

Khairy yang dianggap pemimpin generasi masa hadapan ‘dicantas’ awal apabila tidak disenaraikan oleh Barisan Nasional (BN) dipimpin Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Beliau diarah menyerahkan Parlimen Rembau yang dimenanginya sejak tiga penggal lalu kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang menang kerusi itu dan kini dilantik sebagai Menteri Pertahanan kerajaan PH-BN.

Bagaimanapun, Khairy bertindak sendirian dengan bertemu MIC bagi memohon bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh, namun kalah kepada calon PH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here