‘Jalan pulang saya masih jauh’ – Khairy

0
216

“SAYA masih mencari jalan pulang (kepada UMNO),” demikian diungkapkan oleh bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, Khairy berkata, kepulangan beliau ke UMNO mestilah di bawah kepimpinan baharu parti keramat orang Melayu itu.

Sebelum pemilihan UMNO pada 2018, saya pernah berjumpa dengan Presiden Parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika itu beliau menawarkan jawatan Timbalan Presiden kepada saya, namun saya menolaknya,” katanya dalam satu perjumpaan bersama media di Concorde Club, di sini hari ini.

Khairy berkata, sejak 2018 beberapa siri perjumpaan diadakan untuk menawarkan beliau jawatan di dalam UMNO namun beliau menolaknya.

“Sejak 2018, saya secara konsisten menyuarakan UMNO perlu  perubahan dalam kepimpinan, semua pemimpin UMNO yang berada dalam jawatan sejak 2018 tidak boleh memegang jawatan itu lagi,” katanya.

Sehubungan itu Khairy berkata, beliau mungkin perlu menunggu lama untuk peluang kembali kepada UMNO.

Sementara itu, beliau berkata, selain tawaran beberapa jawatan korporat dan penyelidikan, beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke arena politik negara.

“Saya ada pengalaman selama tiga penggal sebagai ahli Parlimen, memegang jawatan menteri di tiga kementerian, menambah pengalaman di peringkat negeri adalah langkah paling sesuai,” katanya.

Beliau berkata, beliau berminat dengan perkembangan politik di Selangor dan tidak menolak bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan, berkata jika beliau membuat keputusan untuk kembali ke arena politik, beliau akan mulakan di Selangor.

Bekas ahli UMNO itu menyifatkan, kempen beliau di Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sangat baik walaupun tidak memenangi kerusi Parlimen itu.

“Jika saya mahu sertai politik semula, saya akan bertanding dalam PRN di Selangor, namun saya belum memilih platform atau parti yang sesuai untuk disertai,” katanya

Khairy mengakui telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin pelbagai parti politik dan antara yang dibincangkan adalah posisi beliau di sana.

Bagaimanapun, Khairy menjangkakan PRN Selangor amat sengit kerana negeri itu kubu kuat Pakatan Harapan (PH), namun pada PRU15 lalu, Perikatan Nasional (PN) sudah mula bertapak.

“Walau apa pun pilihan saya, persaingan di sana (Selangor) amat sengit,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mungkin menubuhkan parti politik baharu, Khairy menyifatkan arena politik negara sudah terlalu padat.

“Walaupun ada cadangan, …mungkin tidak kerana arena politik negara kita sudah terlalu padat untuk saya menubuhkan sebuah parti baharu,” katanya lapor BH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here