Doktor rugi RM90,000 terpedaya Love Scam

0
147

SEORANG doktor wanita kerugian RM94,001 dipercayai akibat jerat sindiket ‘Love Scam’ selepas terperdaya dengan seorang lelaki yang dikenali melalui Facebook sejak Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata perkenalan antara mangsa berusia 31 tahun dengan lelaki terbabit yang mendakwa bekerja di luar negara, berterusan menerusi WhatsApp menggunakan nombor telefon antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa dikatakan tidak pernah berjumpa individu terbabit sepanjang tempoh perkenalan mereka.

“Selepas dua minggu berkenalan, suspek didakwa meminta mangsa melakukan transaksi dalam talian bagi urusan pembelian barang melalui laman sesawang. Justeru ketika berada di rumah, mangsa dikata memasukkan maklumat diberi suspek, iaitu data pengenalan dan kata laluan.

“Mangsa yang menggunakan akaun peribadi, melakukan beberapa transaksi pembelian barang berjumlah ASD18,640 (RM79,369) dan ASD33,990 (RM144,729). Namun, akaun mangsa dikata dibekukan tanpa sebab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor BH Online.

Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa kemudian diminta membuat pembayaran deposit bagi membolehkan akaun diaktifkan semula.

“Mangsa mengikut arahan diberikan laman sesawang itu dan melakukan pembayaran deposit secara beberapa kali ke dalam satu akaun tempatan berjumlah RM23,701.

“Mangsa diberitahu jumlah berkenaan tidak mencukupi dan perlu menambah lagi, sebelum diarah menggunakan aplikasi khusus bagi tujuan penukaran mata wang asing.

“Wanita itu masih mempercayai arahan berkenaan dan melakukan empat transaksi. Bagaimanapun, mangsa kemudian diminta melakukan transaksi kepada rakan suspek,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu dan tidak melakukan transaksi kepada rakan suspek sebagaimana diminta suspek.

“Mangsa mengalami kerugian berjumlah RM94,001. Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam setiap perkenalan dalam talian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here