Ipoh digelar bandar paling murah bagi pendidikan antarabangsa di Asia

0
269

IPOH digelar bandar paling murah di Asia dan dunia bagi persekolahan antarabangsa pada 2022, berdasarkan kajian Pangkalan Data Sekolah Antarabangsa (ISD), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada masa sama, seperti tahun sebelumnya, China terus mendominasi sebagai negara paling mahal di Asia untuk sekolah antarabangsa, menurut kajian tersebut.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, buat pertama kalinya, Ipoh tersenarai dalam pangkalan data tersebut bersama 19 bandar lain.

“Bandar lain yang tersenarai ialah seperti Beijing (China, Shanghai (China), Shenzhen (China), Guangzhou (China), Taipei (Taiwan), Yangon (Myanmar), Bangkok (Thailand).

“Begitu juga Kyoto (Jepun), Osaka (Jepun), Kobe (Jepun), Pattaya (Thailand), Chiang Mai (Thailand), Phuket (Thailand), Manila (Filipina), Johor Bahru (Malaysia), Bali (Indonesia), Pulau Pinang (Malaysia), Kuala Lumpur (Malaysia) dan Phnom Penh (Kemboja).

“Ipoh ialah bandar baharu yang termasuk dalam penyelidikan terbaharu ISD dan telah diberi gelaran lokasi paling murah di Asia.

“Manakala kos sekolah antarabangsa dari ibu negara Kemboja Phnom Penh pula menduduki tempat kedua terendah kali ini.

“Harga di Ipoh berkisar antara AS$2,316 hingga AS$3,065 setahun, yang sangat berbeza dengan bandar paling mahal di Asia, Beijing.

“Harga di metropolis China ini berjulat dari atas AS$10,000 hingga hampir AS$40,000 setahun,” katanya, lapor Astro AWANI.

Rumaizi berkata demikian ketika berucap mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2023 di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Ipoh, Perak, hari ini.

Katanya, daripada 20 bandar yang termasuk dalam analisis ISD Asia, 16 mempunyai harga di bawah AS$15,000 setahun iaitu Taipei, Yangon, Bangkok, Kyoto-Osaka-Kobe, Pattaya, Chiang Mai, Phuket, Manila, Johor Bahru, Bali, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Phnom Penh dan Ipoh.

Tambahnya, Malaysia dan Thailand adalah negara paling berpatutan di Asia apabila melibatkan kos pendidikan antarabangsa.

“Tiga bandar Thailand (Pattaya, Chiang Mai dan Phuket) dan empat bandar Malaysia (Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Ipoh) termasuk dalam 10 lokasi paling murah di benua Asia.

“Di peringkat global, New York City kekal sebagai metropolis paling mahal di seluruh dunia untuk persekolahan antarabangsa.

“Malah, ia menjadi lebih mahal sejak 2021, dengan harga maksimum mendahului AS$60,000 setahun buat kali pertama,” kata Rumaizi.

Ujarnya lagi, Switzerland kekal sebagai negara Eropah yang paling mahal untuk persekolahan antarabangsa.

Manakala Copenhagen kekal sebagai bandar paling murah untuk persekolahan antarabangsa di Eropah, walaupun reputasinya sebagai destinasi kos tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here