BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar lebih berkemungkinan menyertai Perikatan Nasional (PN) berbanding Pakatan Harapan (PH), sekali gus menguatkan gabungan pembangkang di Selangor menjelang PRN.
Penganalisis politik, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura bagaimanapun berkata, bekas rakan seperjuangan Noh, Khairy Jamaluddin, yang turut dipecat UMNO, mungkin tidak akan mengambil langkah sama.
“Noh merupakan ‘warlord’ tradisional UMNO. Gaya dan kepercayaannya tidak bersesuaian dengan imej reformasi PH, jadi saya tidak melihat beliau akan menyertai mereka,” katanya memetik laporan FMT.
Beliau berpendapat, Noh lebih sesuai bersama PN, selain sudah membina pangkalan di Selangor.
Sebagai ‘warlord’ tempatan katanya, Noh bersama penyokongnya mudah bergerak ke platform baharu.
Beliau berkata, Khairy yang juga bekas ketua Pemuda UMNO pula ‘bintang politik’ yang disukai pengundi bukan penyokong PN, justeru langkah menyertai gabungan diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dilihat bukan pilihan tepat.
“Beliau berkembang dengan aura progresif dan reformis. Ini tidak sejajar dengan pandangan PN yang regresif dan konservatif.
“Walaupun popular dalam kalangan masyarakat yang tidak sehaluan dengan PN, Khairy tidak digemari pemimpin parti lain kerana beliau mungkin mampu mengatasi mereka. Itulah dilema Khairy,” ujarnya.
Oh berkata, Khairy mungkin akan menubuhkan parti politik baharu bersama pihak berpandangan sama dengannya yang turut terpinggir.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia juga melihat Noh besar kemungkinan akan menyertai PN.
“Beliau mungkin dinamakan sebagai calon menteri besar Selangor sekiranya PN berjaya merampas negeri itu daripada PH,” katanya.
Bagi Khairy pula, laluannya sukar dijangka, kata Fauzi.
Katanya, walaupun kecenderungan politik Khairy lebih menghampiri PH, menyertai gabungan itu akan membayangi hubungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Meskipun Khairy dipecat katanya, itu bukan pengakhiran perjalanan politiknya dalam UMNO.
“Saya yakin Khairy mempunyai sokongan dalam kalangan generasi muda UMNO. Beliau boleh menunggu sehingga penggal Zahid sebagai presiden tamat.
“Kemudian (beliau mungkin) merancang kembali semula jika pengganti Zahid kelak sedar Khairy mampu menyumbang undi dan menjadi pemimpin masa hadapan UMNO,” katanya.
Noh dan Khairy dipecat UMNO minggu lepas kerana melanggar disiplin parti pada PRU15.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.