Dua lelaki tempatan ditahan, bawa wanita warganegara Indonesia dalam kebun getah untuk rentas ke Thailand

0
185

Oleh RIZQI ZABIDI

CUBAAN tiga wanita warganegara Indonesia menggunakan khidmat lelaki tempatan bagi meloloskan diri ke Thailand gagal apabila kereta dinaiki mereka ditahan dalam kebun getah berhampiran sempadan tanah air dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.

Kenyataan dikeluarkan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia memaklumkan, kelima-lima individu berkenaan ditahan dalam sebuah kereta jenis Perodua Aruz kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

“Menerusi maklumat perisikan, pasukan operasi telah mengesan pergerakan sebuah motosikal mengiringi sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan dalam kawasan ladang getah menuju ke sempadan Malaysia dan Thailand.

“Pasukan operasi kemudian bertindak menahan kedua-dua kenderaan itu namun motosikal ditunggang seorang lelaki dapat melarikan diri,” katanya.

Kenyataan itu menambah, hasil pemeriksaan terhadap kereta berkenaan mendapati kenderaan itu dinaiki lima individu terdiri daripada dua lelaki tempatan dan tiga wanita Indonesia.

“Dua lelaki itu dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’. Seorang wanita didapati masih memiliki dokumen perjalanan ke negara ini yang sah bagaimanapun seorang dokumen seorang rakannya sudah pun tamat tempoh.

“Seorang lagi wanita warganegara Indonesia yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen. Umur kesemua mereka antara 40 hingga 56 tahun,” katanya.

Menurutnya, kesemua individu ditahan diserahkan ke Balai Polis Jitra untuk tindakan lanjut.

“Terdapat dua kenderaan dirampas iaitu kereta Perodua Aruz tersebut serta sebuah motosikal Modenas Kriss Star.

“Selain itu lapan telefon bimbit, empat subang emas dan wang tunai mata wang Malaysia serta Indonesia turut dirampas. Secara keseluruhannya nilai rampasan berjumlah kira-kira RM65,100,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here