Pemandu van kilang didenda RM10,000, penjara 10 hari rasuah polis RM200

0
214

SEORANG pemandu van kilang didenda RM10,000 dan penjara selama 10 hari  oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Butterworth, Pulau Pinang hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan sebanyak RM200 kepada seorang anggota polis berpangkat Koperal kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, M. Kalaithasan, 53, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Zulhazmi turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Kalaithasan didakwa telah memberi suapan dalam bentuk wang tunai berjumlah RM200 kepada seorang anggota polis berpangkat Koperal.

Ia sebagai dorongan untuk anggota polis berkenaan tidak menahan dan menyamannya atas kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No3) 2021 iaitu membawa lebih muatan orang melebihi kapasiti yang dibenarkan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan kira-kira pukul 5.10 petang, pada 28 Jun 2021 di Lorong Perusahaan 4, berhadapan sebuah kilang di Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rosman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Difahamkan, tertuduh membayar denda yang dikenakan terhadapnya hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here