Bekas askar miliki 5 rekod jenayah ditahan tetak Inspektor polis

0
333

SEORANG bekas tentera ditahan selepas menetak pegawai polis berpangkat Inspektor menggunakan dua parang ketika serbuan di sebuah rumah di Kampung Batu Gajah Tanah Merah,Kelantan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam kelmarin menyebabkan mangsa cedera pada belakang tapak tangan kiri dan menerima lima jahitan, selain calar pada bahu kanan,

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, mengesahkan kejadian itu berlaku mangsa yang mengetuai sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah mengunjungi rumah suspek untuk tujuan penahanan lelaki terbabit.

Terdahulu, katanya, suspek dikatakan mengacu senjata sama dan menetak beberapa bahagian van milik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sewaktu operasi dijalankan agensi itu pada sebelah pagi hari sama.

“Ketika operasi AADK pada jam 10.30 pagi, suspek bertindak agresif semasa serbuan sebelum merosakkan kenderaan milik agensi itu dan melarikan diri.

“Susulan itu, laporan dibuat sebelum pihak kami membuat serbuan seterusnya pada sebelah malam hari sama dan ketika tiba di rumah suspek, keadaan di dalam rumahnya gelap.

“Sebaik pasukan polis masuk ke rumah, suspek tiba-tiba menyerang dengan dua parang menyebabkan pegawai polis yang mengetuai operasi cedera di belakang tapak tangan kiri dan menerima lima jahitan selain calar di bahagian bahu kanan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Mohd Haki berkata, suspek yang juga seorang duda ditamatkan perkhidmatan sebagai tentera tiga tahun lalu dan disahkan memiliki lima rekod jenayah lampau termasuk tiga bersabit dadah.

Katanya lagi, hasil ujian saringan juga mendapati suspek positif methampethamine dan kini ditahan reman empat hari sehingga 20 Januari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dari menjalankan tugas serta Seksyen 332 kanun sama iaitu sengaja menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam dari menjalankan tugas.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan Sekyen 427 kanun sama kerana melakukan khianat,” katanya.

Belum kenal pasti mayat dengan empat kesan tembakan

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Haki berkata identiti mayat lelaki yang ditemukan dengan empat kesan tembakan di Bukit Bunga, di sini, pada 1 Januari lalu, belum dapat dikenal pasti.

“Walaupun hebahan sudah dibuat secara menyeluruh di seluruh negara termasuk negara jiran (Thailand), tiada sebarang maklum balas diperoleh.

“Jika ada ahli keluarga atau sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kehilangan waris, diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Mohd Nazri Mohd Yusof di talian 011-9640669 atau talian IPD Tanah Merah 09-9556222,” katanya lapor BH.

Pada jam 3 petang 1 Januari lalu, mayat seorang lelaki ditemui tersangkut pada sebatang pokok di Pangkalan Haram Belakang Berek 12, Bukit Bunga dalam keadaan sudah mereput dengan empat kesan tembakan pada tempurung kepala.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here