Speaker putuskan tiada kekosongan di empat kerusi bekas ahli Bersatu Sabah

0
226

Empat bekas ahli Bersatu Sabah yang bertanding dan menang semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen mereka.

Keputusan tersebut diputuskan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang dipilih kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dalam surat dihantar kepada empat Ahli Parlimen (MP) itu baru-baru ini walaupun mereka keluar parti sejurus menang PRU-15 lalu bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, keputusan tersebut dilihat bakal memberi implikasi besar memandangkan undang-undang lompat parti sudah berkuatkuasa.

Seorang daripada MP terbabit, Datuk Matbali Musah (Sipitang) mengesahkan pihaknya telah menerima salinan surat daripada Johari yang ditujukan kepada Naib Presiden Bersatu merangkap Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berhubung keputusan dalam isu kedudukan empat wakil rakyat berkenaan.

Beliau berkata, surat itu antara lain menjelaskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi mengikut Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menerima salinan surat daripada Speaker Dewan Rakyat yang dihantar kepada YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang menyatakan dan memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan Kerusi Parlimen terbabit bawah Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya, di sini, hari ini.

Selain Sipitang, tiga lagi kerusi Parlimen ialah Papar yang disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali; Batu Sapi (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan); dan Ranau (Datuk Jonathan Yasin).

Pada 29 Disember lalu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran dalam satu kenyataan berkata, Bersatu sudah menghantar notis kepada Johari untuk memastikan berlaku kekosongan ‘luar jangka’ membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

Ia susulan dakwaan bahawa empat Ahli Parlimen itu melakukan kesalahan melompat parti berdasarkan undang-undang melarang Ahli Parlimen bertukar parti, apabila bertindak keluar Bersatu Sabah dan menjadi ahli langsung dalam GRS yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Media sebelum ini melaporkan Johari mengesahkan ada menerima notis itu daripada Bersatu dan menetapkan keputusan akan dibuat selepas 21 hari dari tarikh notis berkenaan dihantar.

Sementara itu, Khairul Firdaus ketika dihubungi pula hanya meminta didoakan perkara baik-baik berhubung keputusan diambil Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam isu berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here