Polis minta bantuan orang ramai kesan waris kanak-kanak Myanmar yang disyaki didera

0
167

ORANG ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak lelaki warga Myanmar yang ditemukan Jumaat lepas dengan beberapa kesan kecederaan, duduk bersendirian di tepi jalan simpang tiga berhampiran Pangsapuri Cheras Utama, Batu 9, Cheras, supaya tampil membantu polis.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata polis telah menggunakan pelbagai kaedah dalam usaha mengesan waris kanak-kanak berkenaan, namun sehingga kini masih menemui jalan buntu.

Beliau berkata selain memeriksa sekitar lokasi kanak-kanak itu ditemukan, polis turut membuat hebahan dan mengedar gambar kanak-kanak itu dalam kumpulan Whatsapp penduduk dan masjid di kawasan berhampiran.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 19/13 sempena Tahun Baharu Cina 2023 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), di sini, Mohd Zaid berkata polis turut meminta bantuan jurubahasa Myanmar untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak yang berumur sekitar empat tahun itu, namun masih tidak membuahkan hasil.

“Dia (kanak-kanak) tidak mahu bercakap tetapi hanya boleh menulis angka satu hingga 10 dalam bentuk perkataan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina. Kanak-kanak itu dilihat masih trauma,” katanya.

Kanak-kanak yang disyaki mangsa dera itu telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Hulu Langat.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here