Permohonan Wan Ji tangguh 7 April

0
114

MAHKAMAH Rayuan di sini menetapkan 7 April ini bagi mendengar permohonan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin untuk merujuk isu perlembagaan melibatkan Akta Hasutan ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Wan Ji ketika dihubungi pemberita mengesahkan tarikh baharu itu selepas mahkamah menangguhkan pendengaran permohonan itu yang sepatutnya berlangsung hari ini.

“Penangguhan itu akan memberi masa kepada saya untuk lebih bersedia dalam rayuan berkenaan selepas mengambil alih kes tersebut daripada peguam Ramkarpal Singh,” kata Sangeet.

Wan Ji merayu terhadap hukuman penjara setahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Julai 2019 selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menambah hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 9 April 2018.

Bagaimanapun, mahkamah itu membenarkan permohonan Wan Ji untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara setahun sehingga rayuannya di Mahkamah Rayuan selesai.

Wan Ji didapati bersalah atas dakwaan menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini pada 10 pagi, 5 Nov 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, bagi  kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here