Penganggur,ejen insuran hidup mewah hasil dadah ditahan

0
163

RAHSIA kejayaan dua penganggur dan seorang ejen insurans menjalani gaya hidup mewah akhirnya terbongkar apabila ketiga-tiga mereka ditahan kerana disyaki mengedar dadah dalam serbuan di dua lokasi di George Town Jumaat lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ketiga-tiga mereka yang berumur 22 hingga 32 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah apartment di Jelutong, dan sebuah kondominium di Lebuh Gat, hasil maklumat dan risikan sejak seminggu lepas,

Beliau berkata polis turut merampas dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan ketamin bernilai RM129,220, serta dua kenderaan mewah iaitu BMW dan Ford Mustang dianggar bernilai RM373,000 dalam serbuan itu.

“Polis merampas 151 paket plastik serbuk dadah MDMA seberat 2,507 gram bernilai RM125,350 dan satu paket ketamin seberat 25.8 gram bernilai RM3,870, semua MDMA itu telah dicampur dengan beberapa perasa minuman antaranya lemon dan oren,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan, mereka dipercayai membungkus sendiri dadah MDMA itu dengan mencampurkannya dengan serbuk berperisa minuman, sebelum mengedarnya di pusat-pusat hiburan sekitar negeri ini.

Mohd Shuhaily berkata ketiga-tiga lelaki itu dipercayai bergiat aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah sejak awal tahun lepas, sehingga membolehkan mereka menjalani gaya hidup yang mewah.

“Ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek negatif dadah namun dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dan menambah semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 800 penagih.

Beliau berkata polis turut menyita empat kenderaan termasuk motosikal, wang tunai RM3,559, dua utas rantai leher, seutas rantai tangan, dua bentuk cincin serta loket emas yang kesemuanya bernilai  RM441,588, dan keseluruhan rampasan serta sitaan dianggar bernilai RM570,808.

Mohd Shuhaily berkata ketiga-tiga mereka direman sehingga 20 Jan ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Berbahaya 1952.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here