Tiga lelaki menyamar pegawai KKM ditahan

0
144

TAKTIK licik tiga lelaki yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memeras ugut pemilik premis salun kecantikan sekitar Lembah Klang, akhirnya terbongkar selepas ditahan dalam serbuan di Bandar Puteri, Puchong, Selangor pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata kesemua suspek berusia 38 hingga 48 tahun itu, ditahan pada jam 12 tengah hari, hasil risikan serta operasi yang dijalankan selama dua minggu.

Dalam serbuan itu, katanya polis turut  merampas baju dan topi yang tertera tulisan KKM serta beberapa peralatan selain produk kesihatan.

“Siasatan awal mendapati kumpulan ini menjadikan salun kecantikan yang tidak mempunyai lesen daripada KKM, bagi menjalankan rawatan kecantikan menggunakan peralatan perubatan dan penjualan ubat berjadual sebagai mangsa.

“Mereka akan mengugut untuk mengambil tindakan saman atau denda RM200,000 serta penjara kepada pemilik premis yang gagal mempamerkan lesen,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, hari ini.

Anbalagan berkata pemilik premis yang ketakutan kebiasanya akan membuat bayaran kepada suspek bagi mengelak daripada dikenakan tindakan, malah ada yang sanggup membayar sehingga RM10,000.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak September tahun lepas dan setakat ini siasatan mendapati lebih 20 premis telah menjadi mangsa, iaitu di sekitar kawasan Serdang, Petaling Jaya, Selayang, Shah Alam Bukit Jalil, Sentul dan Kuala Lumpur melibatkan kerugian RM42,000.

Anbalagan berkata setakat ini, pihaknya menerima enam laporan polis dan menasihatkan mana-mana pemilik  salun yang menjadi mangsa untuk untuk tampil membuat laporan, bagi membolehkan tindakan selanjutnya dijalankan.

Beliau berkata dua daripada tiga lelaki yang ditahan itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes curi serta pecah rumah dan kesemua mereka akan disambung reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 385 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here