PKR tak teruskan petisyen pilihan raya terhadap Muhyiddin

0
216

PKR tidak akan memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, berkenaan dakwaan yang dikatakan menyentuh sensitiviti agama menjelang PRU15.

Timbalan Presiden Rafizi Ramli berkata tumpuan PKR pada masa ini adalah menguruskan ekonomi serta membuat persediaan menghadapi enam PRN tahun ini.

“Saya tidak mahu bawa keutamaan parti dan pimpinan kepada dalam proses pilihan raya lepas,” katanya selepas Konvensyen Pilihan Raya PKR Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Pada 18 November tahun lepas, Rafizi memberi amaran kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa dakwaannya berhubung kumpulan “mengkristiankan Malaysia” boleh menyebabkan beliau terpaksa mengosongkan Parlimen Pagohnya, jika berjaya mempertahankan kerusi itu.

Dalam rakaman ceramah yang tular ketika itu, pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata “sangat bahaya” untuk PH kembali berkuasa, sambil mendakwa beliau melihat satu video sekumpulan Yahudi yang “ditaja” oleh pembangkang.

Bekas perdana menteri itu juga mempersoalkan sama ada akan berlakunya “proses Kristianisasi”, dan mendakwa “agenda mereka” adalah ingin menjadikan Malaysia menjadi satu daripada “koloninya”.

Dalam rakaman itu juga, Muhyiddin mendakwa ada orang Melayu ke gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pada Ahad. Majlis Gereja Malaysia membidas Muhyiddin atas dakwaan itu.

Rafizi berkata, jika PKR ingin membuat petisyen pilihan raya selepas ini, parti itu akan membuatnya dalam tempoh kempen pilihan raya.

“PRN akan datang kita akan pastikan laporan bantahan kepada SPR dibuat terus semasa kempen pilihan raya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rafizi mensasarkan Pakatan Harapan (PH) memenangi 45 hingga 47 kerusi pada PRN Selangor.

Sasaran itu realistik berdasarkan sentimen pengundi pada PRU15, katanya, lapor FMT.

Beliau berkata, setakat ini, berdasarkan kaji selidik yang berasingan menunjukkan pengundi PH menerima gabungan dengan BN dengan baik.

“Jadi sepatutnya untuk mengekalkan 40 kerusi agak mudah kerana tanda-tandanya paling menyokong dan menerima realiti kerajaan perpaduan ini.

“Penyokong PH, terutamanya di kawasan bandar dan separuh bandar, faham tentang keperluan dan dasar nak dibuat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here