Cubaan bawa masuk ‘pengundi hantu’ luluskan usul jawatan Presiden, Timbalan tidak pertanding petang ini?

0
160

PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2022 semakin panas apabila terdapat cubaan untuk membawa masuk ‘pengundi hantu’ bagi memastikan ‘usul haram ke-8’ agar kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dicabar mendapat undi terbanyak.

Hal itu selepas satu video yang tular di media sosial yang menunjukkan tag kedudukan perwakilan yang sebelum ini diletakkan di kerusi Dewan Merdeka sudah tiada.

Menurut bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, beliau difahamkan situasi itu menunjukkan usul yang dicadangkan perwakilan Rembau akan diluluskan petang ini.

“Petang ini akan ada undian untuk usul dan saya difahamkan akan dilulus dan beberapa tag di kerusi-kerusi perwakilan di Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut dan ditanggalkan.

“Ini supaya perwakilan-perwakilan import boleh dibawa masuk untuk sorak dan juga untuk lulus usul supaya jawatan nombor satu (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan nombor dua (Datuk Seri Mohammad Hassan) ini tidak dipertandingkan,” katanya dalam perkongsian di media sosial beliau hari ini, lapor UtusanTV.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, beliau merayu agar semua perwakilan yang ada di Dewan Merdeka untuk tidak membiarkan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan diluluskan.

Jelas bekas Ketua Pemuda UMNO itu, kepimpinan UMNO perlu memberi kebebasan kepada perwakilan peringkat bahagian untuk memilih pucuk pimpinan parti yang akan datang.

Jelas Khairy, beliau berjanji dan yakin perpecahan dalam parti tidak akan berlaku sekiranya pemilihan diadakan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Siapa yang menang akan mendapat mandat daripada parti, siapa menang kita sokong dan ketepikan segala perbezaan selepas selesai pemilihan nanti.

“Itu budaya kita dalam UMNO, pemilihan ini memang biasa tetapi bila dah menang, kita move on, jadi naratif yang mengatakan pemilihan diadakan ini membawa perpecahan adalah tidak benar sama sekali.

“Kita dah tinggal 26 kerusi parlimen UMNO. Ini prestasi terburuk dalam sejarah. Jadi sangat penting perwakilan dalam UMNO jangan melakukan langkah Dewan Merdeka, untuk membunuh demokrasi, untuk menidakkan suara perwakilan di bahagian dan akar umbi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here