Zahid punca BN pecah sebelum PRU15 – Penganalisis

0
173

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu dipersalahkan susulan pertelingkahan dalam gabungan itu yang sebahagiannya menyumbang prestasi buruk pada PRU15, kata dua penganalisis.

James Chin dari Institut Asia University of Tasmania dan Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, memberitahu FMT keputusan Umno menyingkirkan beberapa nama besar sebagai calon, mencetuskan perpecahan dalam BN, sebelum PRU itu.

Chin berkata, nama besar tersebut kebanyakan mereka berstatus ‘panglima’ parti dan calon boleh menang digantikan dengan penyokong Zahid. “Itulah punca utama mengapa Umno tewas pada PRU15. Kerosakan itu kesan tindakan mereka sendiri.”

Azmi berkata, kegagalan membariskan calon terbabit mewujudkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli dan pengundi.

“Pengundi dapat lihat Umno tidak lagi kuat, berpecah dan calon dipilih presiden atau Majlis Kerja Tertinggi hanya mewakili satu-satu kumpulan dalam parti,” katanya, lapor FMT.

“Itu antara sebab utama mengapa pengundi Melayu tidak puas hati untuk mengundi Umno. Jadi, mereka memilih pihak lain, terutama Perikatan Nasional atau PAS.”

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki memberi alasan prestasi buruk Umno pada PRU15 kerana perpecahan dalaman, sambil menyatakan pemimpin parti menyerang satu sama lain.

Tambahan pula, timbul kebimbangan perpecahan dalam Umno sendiri. Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad, baru-baru ini, menyentuh cadangan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti demi mengelak perpecahan lebih parah.

Bagaimanapun, dua penganalisis itu berkata, menghalang pertandingan bagi kedudukan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti tidak mampu meredakan perpecahan.

Azmi berkata, melakukan tindakan sedemikian hanya meluaskan lagi jurang perpecahan. Katanya, Umno sepatutnya mendokong dua jawatan tertinggi itu dipertandingkan.

Beliau yakin jawatan Zahid dan Mohamad dalam Umno adalah selamat.

“Saya percaya mereka boleh mempertahankan jawatan masing-masing dengan mudah. Mereka mempunyai pengaruh besar besar dengan kedudukan dalam kerajaan perpaduan. Persepsinya adalah sesiapa yang mencabar mereka bagi kedudukan dua jawatan tertinggi itu secara tidak langsung mencabar Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Biarlah pertandingan dibuat kerana penyandang mampu mempertahankannya dan mana-mana pencabar akan senyap selepas itu,” katanya.

Chin berkata, Zahid tidak mahu jawatannya ditandingi demi memastikan kestabilan dalam kerajaan. Bagaimanapun, ada beberapa kumpulan dalam Umno mahu parti dan BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Jika Zahid dicabar, ia akan datang dari pihak yang percaya Umno sepatutnya tidak menyokong Anwar. Itulah sebab beliau tidak mahu jawatan itu dipertandingkan,” katanya.

Sebelum ini, timbul suara supaya jawatan presiden Umno dan timbalan presiden ditandingi pada pemilihan parti, yang perlu diadakan sebelum 19 Mei.

Majlis Kerja Tertinggi Umno belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here