Nasib empat MP Sabah keluar Bersatu diketahui esok: Speaker

0
221

SPEAKER Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul akan membuat keputusan esok (13 Januari 2023) sama ada berlaku kekosongan kerusi empat kawasan Parlimen di Sabah setelah wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, keluar daripada Bersatu.

Keempat-empat mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Armizan Mohd Ali (Papar); Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Datuk Matbali Musah (Sipitang); dan Datuk Jonathan Yassin (Ranau), adalah ahli Bersatu yang bertanding di bawah lambang Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

The Star melaporkan Johari sebagai berkata beliau akan mengumumkan keputusannya sama ada akan ada atau tidak kekosongan di empat kerusi Parlimen Sabah itu.

Sekiranya Johari memutuskan mereka melanggar undang-undang anti-lompat parti, semua ahli Parlimen (MP) terbabit perlu mengosongkan kerusi mereka, sekali gus akan membawa kepada pilihan raya kecil (PRK).

“Saya telah menerima semua dokumen dan jawapan mereka dan saya mempunyai 21 hari untuk menjawab. Saya menelitinya kerana saya mendapat lebih banyak maklum balas daripada pegawai undang-undang.

“Saya harus memuktamadkannya pada Jumaat,” kata Johari dalam satu temu bual bersama The Star.

Speaker menambah beliau akan memaklumkan keempat-empat MP terbabit melalui surat.

Mengikut undang-undang anti-lompat parti, yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain.

Pengecualian untuk Ahli Parlimen yang dipecat parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.

Sebelum ini, Johari mengesahkan menerima notis rasmi daripada Bersatu mengenai empat kerusi Parlimen yang didakwa kosong di Sabah yang boleh menyebabkan PRK diadakan.

Johari berkata beliau menerima surat daripada Naib Presiden Bersatu Datuk Ronald Kiandee pada 27 Disember lalu yang meminta Speaker memaklumkan empat kekosongan itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here