Penghantar makanan antara 2 ‘tokan’ dadah ditahan polis

0
249

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG penghantar makanan merupakan antara dua lelaki berusia 22 dan 25 tahun yang ditahan polis daerah Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang selepas disyaki menjadi ‘tokan’ dadah.

Mereka ditahan dalam serbuan di sebuah restoran di Jalan Raja Uda, Butterworth, kelmarin yang mana polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM104,879 dalam operasi itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, ketika serbuan pukul 5.30 petang itu, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 22 dan 25 tahun itu dipercayai sedang menunggu pembeli untuk mendapatkan bekalan dadah yang dijual mereka.

Ujarnya, susulan penahanan suspek, polis merampas sebanyak 88 bungkus heroin seberat 4,995 gram bernilai RM66,933; ganja seberat 1,009 gram (RM2,522) dan 984 gram syabu (RM35,424) yang disimpan di dalam sebuah kereta di belakang restoran berkenaan.

“Kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah itu sejak bulan lalu dan masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Kesemua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 34,940 penagih jika terlepas ke pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) SPU, Bukit Mertajam hari ini.

Menurut Mohd. Radzi, dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah kereta Toyota Vios bernilai RM90,000 yang digunakan suspek yang dipercayai kenderaan curi susulan laporan kehilangan kenderaan yang dilaporkan di Johor kira-kira tiga tahun lalu.

Jelasnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek turut direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

“Ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk untuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah tersebut termasuk pembekal yang dipercayai tinggal di bahagian pulau (George Town),” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here