Kabinet Sabah dirombak, Bung dijangka jadi ‘korban’ selepas cubaan rampas kuasa gagal

0
248

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, akan merombak Jemaah Menteri selepas cubaan menggulingkan pentadbiran GRS semalam gagal menjadi kenyataan.

Timbalannya, Datuk Bung Moktar Radin, yang dikaitkan dengan cubaan itu dijangka menjadi korban dalam rombakan itu.

Menurut sumber yang dekat dengan Hajiji, ada kemungkinan ketua UMNO Sabah itu digugurkan, bersama Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Jafry Ariffin.

Namun, tidak semua pemimpin BN Sabah akan digugurkan, tambahnya.

“Hal ini dibincangkan semalam. Bukan bercerai dengan BN Sabah. Hajiji hanya mahu pastikan kerajaan terus berfungsi,” kata sumber itu.

Sumber itu juga memberitahu bahawa, pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu akan membawa masuk ADUN Pakatan Harapan Sabah ke dalam Jemaah Menteri.

Terdahulu, dilaporkan tujuh ADUN UMNO Sabah termasuk timbalan Bung, Yakub Khan, bertemu Hajiji semalam.

“Selain tujuh orang itu, sekurang-kurangnya tiga ADUN Warisan pun ada bertemu Hajiji,” kata sumber itu, yang enggan berkongsi butiran perbincangan itu.

Adalah difahamkan bahawa Hajiji akan bertemu Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Jeffrey Kitingan, hari ini. STAR mempunyai enam wakil rakyat.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking berkata partinya membuat keputusan untuk tunggu dan lihat.

Himpunan para ADUN UMNO Sabah di ibu pejabat parti itu di Kota Kinabalu semalam mencetuskan khabar angin tentang suatu kerjasama dengan Warisan untuk menyingkir Hajiji.

Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, membatalkan sidang media pada 4.30 petang selepas dua jam tertangguh.

Terdahulu, ADUN GRS dan Pakatan Harapan mengikrar sokongan kepada Hajiji lapor FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here