PDRM kesan mesej tular aktiviti ‘push -pocket’,peras ugut di kawasan tumpuan

0
180

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya tidak menerima laporan berhubung kegiatan jenayah push-pocket dan peras ugut berlaku di kawasan tumpuan seperti di lapangan terbang dan stesen Transit Aliran Ringan (LRT).

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata mesej mengenai kegiatan itu telah tular sejak 2016 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial.

“Menerusi mesej itu, penjenayah menggunakan modus operandi dengan memasukkan telefon bimbit atau dompetnya ke dalam beg mangsa sebelum menuduh mangsa mencuri barangan miliknya.

“Mangsa seterusnya akan didesak membayar sejumlah wang dengan alasan untuk menyelesaikan kes dan sekiranya tidak bersetuju, mangsa diugut bahawa kejadian ‘curi’ akan dilaporkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah meminta orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang mesej yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

Menurutnya, tindakan berkongsi atau menyebar berita-berita sedemikian boleh menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here