Letupan Pandan Indah: Cemburu dipercayai motif suspek

0
199

PASANGAN suami isteri yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes letupan bom buatan sendiri di Pandan Indah, Ampang Jaya, Khamis lalu sehingga menyebabkan seorang tukang masak maut, direman selama tujuh hari.

Lapor Berita Harian, kedua-dua suspek iaitu lelaki berusia 33 tahun dan isterinya berusia 30 tahun ditahan di Serdang, Kedah, malam tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Mereka kemudian terus dibawa ke IPD Ampang Jaya untuk siasatan dan tindakan lanjut. Kedua-dua suspek terbabit direman bermula hari ini sehingga 10 Januari ini.

Setakat ini kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu lelaki yang ditahan terhadap mangsa.

Dalam kejadian pukul 8.50 malam, pada 29 Disember lalu, seorang tukang masak sebuah restoran di Pandan Indah, maut selepas membuka sebuah bungkusan yang diletakkan atas bonet keretanya.

Bungkusan berkenaan kemudian meletup secara tiba-tiba sebelum mangsa mengalami kecederaan serius pada badan dan tangannya.

Mangsa maut pada pukul 9.50 malam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

Setakat ini, daripada siasatan polis di tempat kejadian, polis menemukan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis percaya suspek kejadian letupan itu menggunakan bom buatan sendiri.

Rumusan itu dibuat susulan penemuan objek tertentu di lokasi kejadian yang mana polis percaya ia adalah kandungan untuk menghasilkan bom.

Antara bahan yang ditemui adalah peranti powerbank, serpihan pisau pemotong kertas dan bateri.

Polis turut tidak menolak kemungkinan ada lagi bahan-bahan lain yang digunakan untuk menghasilkan letupan namun ia mungkin sudah hangus semasa kejadian.

Polis juga mengesyaki kemahiran membuat bahan letupan dipelajari menerusi media sosial.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here