PUTRA lapor polis terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka

0
205

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Melaka membuat laporan polis terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Wanita PUTRA, Laila Norinda Maon, berkata Putra Melaka tidak menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sekiranya berlaku rasuah dalam pemberian konsesi di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Laporan itu dibuat selepas beliau melihat klip video berdurasi 5 minit 19 saat di Facebook (FB) kelmarin yang jelas mengaitkan Ab Rauf dengan isu penyelewengan itu.

“Kandungan video berkenaan mendakwa duit dari MARRIS pusat yang sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) Melaka untuk membantu kontraktor-kontraktor kecil membangunkan perniagaan mereka tetapi dilencongkan ke Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

“Tindakan itu kononnya atas arahan Pengerusi Jawatankuasa Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri (Ab Rauf) tanpa sebarang perbincangan dengan pihak lain.

“Saya tidak menuduh atau menyalahkan beliau atau mana-mana pihak, sebaliknya mahu pihak berwajib menjalankan siasatan sama ada dakwaan itu benar atau salah,” katanya hari ini, lapor BH Online.

Laila yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) berkata, dakwaan dalam kandungan video terbabit mesti dipandang serius oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sebagai anak jati Melaka dan mewakili PUTRA Melaka, kami membantah sekeras-kerasnya pemimpin yang menyalahgunakan kuasa mahupun mempunyai agenda atas kepentingan sendiri dan menggunakan harta kerajaan untuk diri mereka.

“Saya sudah membuat laporan polis semalam dan menyerahkan kepada pihak berwajib menjalankan siasatan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu petang semalam di Balai Polis Ayer Keroh dan siasatan lanjut masih dijalankan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here