Prosiding bela diri Bung Moktar, Zizie Izette tangguh

0
272

PROSIDING hari pertama bela diri Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad bagi kes rasuah RM2.8 juta pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad di Mahkamah Sesyen di sini, ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan (COA) di Putrajaya.

Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan yang dibuat Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya itu, pada Selasa.

Berdasarkan notis usul yang difailkan 22 Disember tahun lalu, Bung Moktar dan Zizie Izette selaku pemohon menyatakan bahawa terdapat keadaan khas atau luar biasa untuk mewajarkan penggantungan prosiding di Mahkamah Sesyen, sehingga pelupusan rayuan pemohon di COA.

Menurutnya, ada kemungkinan rayuan itu akan berpihak kepada pemohon, atas dasar isu-isu perundangan yang dibangkitkan.

“Sekiranya penggantungan perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini tidak dibenarkan, ia akan mencetuskan ketidakadilan kepada kedua-dua pemohon,” kata notis itu.

Susulan ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob menetapkan 27 Januari untuk sebutan semula kes.

“Jadi, tarikh bicara pada 9 hingga 13 Januari ini dilapangkan untuk pihak-pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai status rayuan pemohon di COA,” katanya.

Sementara itu, Rozina menasihati kedua-dua pihak supaya bertindak lebih positif dan memberi perhatian kepada COA bagi mendapatkan tarikh lanjut.

“Tolong ambil langkah untuk memfailkan sijil perakuan segera kepada COA, mereka pasti akan pertimbangkannya kerana kes ini tergantung sejak 2019.

“Minta tarikh awal, saya pasti tertuduh juga gelisah untuk tahu, bila perkara ini akan berakhir, kerana ia bagaikan tiada penghujungnya,” katanya lapor Sinar Harian.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Mohd Sophian Zakaria manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam M Athimulan.

Pada 2 September 2022, Bung Moktar dan Zizie Izette diperintah untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga didakwa menerima suapan RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar bawah nama Zizie Izette, manakala isterinya itu berdepan tiga pertuduhan bersubahat.

Pada 23 September 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan mereka untuk menangguhkan perbicaraan bela diri sementara menunggu permohonan semakan jenayah didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi berasingan.

Pada 9 Disember 2022, mereka gagal dalam permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen, setelah Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan bantahan awal oleh pihak pendakwaan terhadap permohonan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here