Mendepani pelbagai cabaran, kesulitan tahun 2023

0
201

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

TAHUN 2022 telah melabuhkan tirainya tepat pukul 12 tengah malam tadi dengan meninggalkan pelbagai cerita serta kenangan pahit dan manis.

Dalam lingkaran peristiwa kehidupan sepanjang 2022 itu, kini kita berhadapan pula dengan tahun 2023 yang mula menjengah tiba.

Untuk itu, penulis ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut kedatangan Tahun Baharu 2023 kepada semua rakyat Malaysia.

Semoga dengan kedatangan tahun baharu ini ia mampu memberi kekuatan, kebangkitan dan semangat baharu kepada kita semua.

Memandangkan suasana kehidupan kita pada tahun-tahun kebelakangan ini semakin mencabar, maka marilah kita sama-sama berusaha untuk mengubah budaya kehidupan kita sesuai dengan tuntutan semasa.

Memandangkan banyak pihak meramalkan tahun 2023 sebagai tahun paling mencabar khususnya daripada segi ekonomi dunia, perubahan iklim yang bertukar kepada cuaca ekstrem disamping penularan pelbagai jenis penyakit berjangkit, maka penulis berharap agar rakyat di negara ini sentiasa bersedia dengan apa sahaja yang bakal berlaku.

Justeru, marilah kita semua mendepani setiap cabaran dan kesulitan yang bakal berlaku itu dengan membuat persediaan awal.

Bercakap daripada segi ekonomi, apakah sebenarnya yang bakal kita hadapi nanti?

Ayuh! marilah kita renungi untuk sama-sama bangkit meneruskan sisa-sisa kehidupan yang penuh mencabar ini.

Bayangkan pada permulaan tahun baharu 2023 hari ini, iaitu 1 Januari, kita sudah digembar gemburkan dengan kenaikan harga barangan makanan sebanyak 10 peratus sedangkan sepanjang tahun lalu sudah beberapa kali kenaikan harga telah berlaku.

Rakyat disaran menanam padi serta sayur-sayuran di kawasan tanah kediaman masing-masing bagi menampung keperluan bekalan makanan sendiri

Malah, kenaikan harga barangan makanan secara melampau oleh sesetengah peniaga begitu membimbangkan.

Apa tidaknya, harga sebungkus nasi lemak daun pisang sekarang ini sehingga RM3, nasi minyak 5.00 dan nasi kuning RM4 manakala kuih muih lain yang dibungkus dalam plastik sudah tiada lagi berharga RM1.

Ketika penulis di alam persekolahan dahulu, harga roti canai hanyalah 30 sen sekeping, kuih muih 5 sen dan 10 sen sebiji.

Kini roti canai berharga antara RM1 hingga RM1.20 sekeping, karipap, popia 50 sen sebiji.

Betapa untungnya orang yang membuat kuih dan juga peniaga.

Zaman sudah berubah, dahulu orang yang berniaga kuih terdiri dalam kategori golongan miskin, tapi kini ramai yang mampu hidup mewah serta memiliki kenderaan dan rumah sendiri.

Begitu juga dengan barangan basah seperti daging, ayam, ikan dan sayur-sayuran.

Semuanya sudah naik secara mendadak.

Daging lembu kini mencecah hampir RM50 sekilogram, ayam sehingga RM10, sayuran seperti sawi RM2 seikat dan limau nipis pula RM1 sebiji.

Ini belum termasuk kenaikan harga barangan keperluan harian yang lain seperti beras, gandum, gula, minyak masak, biskut, roti dan sebagainya.

Bagi golongan kaya dan berpendapatan tetap, isu kenaikan barangan ini tidak menimbulkan masalah, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak mempunyai sumber pendapatan?

Sebelum ini penduduk di pesisir pantai tidak membeli ikan kerana masing-masing keluar ke laut menangkap ikan.

Maka itu, bagi mendepani isu kos sara hidup semakin meningkat tinggi ini, penulis ingin mengajak semua pihak mengimbas semula kehidupan ketika zaman nenek moyang kita dahulu dengan menekan budaya kuat bekerja dan kurang berbelanja.

Orang dahulu, tidak membeli ayam kerana mereka memelihara ayam, mereka kurang membeli minyak masak kerana mereka ada ‘tanak’ minyak sendiri disamping menanam padi serta sayur-sayuran di kawasan tanah kediaman masing-masing.

Bagi penduduk di pesisir pantai pula, mereka tidak membeli ikan kerana masing-masing keluar ke laut menangkap ikan.

Hasil tangkapan turut diagihkan kepada saudara mara yang tinggal di kawasan perkebunan dan sebagai balasan mereka akan mendapat sayur sayuran dan buah buahan.

Selain itu, kita juga perlu bersedia untuk berhadapan dengan keadaan cuaca ekstrem sama ada hujan atau pun panas yang boleh menjejaskan aktiviti harian terutama bidang pertanian.

Begitu juga dengan jangkitan penyakit berjangkit, khususnya varian baharu Covid-19 yang boleh merencatkan ekonomi negara sekiranya kedatangan pelancong daripada luar negara, khususnya Cina tidak terkawal. Bersedialah kita dari sekarang! – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here