Oleh BADLISHAH MAT
SEPASANG penuntut sebuah kolej yang tidak pulang bercuti di rumah masing-masing di Alor Setar dan Baling antara yang dicekup berkhalwat oleh Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) di sekitar Sungai Petani, awal pagi ini.
Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd. Noor Ismardi Ismail berkata, pasangan penuntut berusia 22 tahun itu sebaliknya menyewa sebuah bilik hotel untuk memadu kasih sebelum ditangkap dalam Operasi Bersepadu Ambang 2023.
Katanya, pasangan terbabit pada mulanya enggan membuka pintu bilik hotel mereka di Bakar Arang, selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
“Kami terpaksa guna kunci pendua yang diperolehi daripada penjaga hotel dan sebaik pintu bilik dibuka didapati penuntut lelaki terbabit sedang menyelimuti dirinya dengan cadar di atas katil, manakala pasangannya berpura-pura tidur di atas lantai.
“Hasil pengakuan kedua-duanya, mereka menyewa bilik itu semata-mata untuk memadu kasih dan tidak berhasrat pulang ke rumah masing-masing bagi menghabiskan cuti bersama-sama keluarga,” katanya.
Serbuan tersebut turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Unit Risik Angkatan Tentera serta Skuad Badar.
Menurut Mohd. Noor, mereka turut menahan tiga pasangan lain yang berumur antara 22 hingga 24 tahun di Padang Temusu dan Bandar Puteri Jaya termasuk salah seorangnya yang merupakan anggota tentera yang bertugas di Negeri Sembilan.
Katanya, kesemua pasangan terbabit ditahan di bawah Seksyen 25, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014 kerana berkhalwat dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk melengkapkan proses siasatan sebelum waris masing-masing dihubungi.
Dalam pada itu di Kulim, tindakan seorang wanita berstatus ibu tunggal yang membawa anak lelakinya untuk tidur di sebuah hotel bagi mengaburi mata penguat kuasa tidak berjaya apabila dia ditahan bersama seorang lelaki bukan muhrim di dalam bilik sebuah hotel.
Wanita berusia 32 tahun itu ditahan bersama pasangannya berusia 22 tahun pada pukul 1.35 pagi tadi dalam satu operasi ambang tahun baharu pencegahan maksiat oleh Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK).
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Azwan Ahmad berkata, ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah bilik, seorang lelaki berpakaian lengkap membuka pintu sebelum pihaknya memperkenalkan diri.
“Seorang wanita berpakaian lengkap bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun turut berada dalam bilik berkenaan. Pasangan terbabit pada mulanya mengaku sudah bertunang namun akhirnya memaklumkan mereka merancang akan bertunang selepas raya tahun ini,” katanya.
Azwan berkata, hasil soal siasat mendapati wanita terbabit bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Perai, Pulau Pinang dan teman lelakinya berasal dari daerah ini namun bekerja di Selayang, Selangor.n – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.