SPRM mulakan siasatan pengambilalihan Menara KL

0
170

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah pun memulakan siasatan mengenai isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Memetik laporan BH Online, isu yang didedahkan dan tular dalam media sosial itu masih berada pada peringkat awal siasatan.

Laporan itu memetik sumber memaklumkan, tindakan selanjutnya oleh SPRM akan menyusul selepas ini.

Bagaimanapun, sumber tersebut enggan mengulas lanjut dan hanya mengatakan kertas siasatan mengenai pengambilalihan Menara KL itu telah pun dibuka.

“Kami sudah membuka kertas siasatan, itu saja yang saya boleh sebutkan setakat ini,” katanya.

Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial apabila orang ramai mempersoalkan keputusan Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.

Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai ‘cash cow’ dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

Difahamkan, pemindahan semua 10 juta saham MKLSB berlaku pada 31 Oktober ketika Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengesahkan saham syarikat pengurusan Menara Kuala Lumpur telah dijual oleh TM Malaysia (TM) kepada sebuah syarikat yang hampir ditutup bernama Hydroshoppe Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan beliau tiada kena mengena dengan pemindahan saham Telekom Malaysia Berhad (TM) dari Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd kepada sebuah syarikat, Oktober lalu.

Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd ialah anak syarikat TM yang menguruskan Menara Kuala Lumpur yang menjadi tarikan pelancongan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here