Kabinet setuju secara prinsip tubuhkan jawatan,institusi khas kanak-kanak-Nancy

0
244

KABINET bersetuju secara prinsip untuk menubuhkan sebuah jabatan atau institusi khas untuk kanak-kanak bagi menjaga kebajikan serta kepentingan golongan itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata cadangan itu telah dikemukakan beliau semasa mesyuarat Kabinet sebelum ini dan mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Jelasnya buat masa ini kementeriannya sedang meneliti perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Buat masa ini memang kami sudah ada bahagian kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi ini mungkin boleh kita perbaiki lagi.

“Pegawai kami kini dalam proses melihat cadangan ini (jabatan atau institusi khas kanak-kanak) agar ia menjadi khusus dan supaya fokus lebih baik dapat diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat penjagaan ibu selepas bersalin Mamacare di sini, hari ini.

Semalam, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dilaporkan berkata sebuah jabatan atau institusi khas kanak-kanak perlu ditubuhkan kerana institusi sedia ada ketika ini menumpukan kepada pelbagai peringkat umur dan tidak  khusus.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kes kematian kanak-kanak lelaki yang dipercayai menjadi mangsa dera di Batu Pahat, Johor pada Isnin lepas, Nancy berkata undang-undang lebih berat diperlukan bagi menangani kes dera di dalam negara.

Katanya beliau terbuka dengan sebarang cadangan penambahbaikan undang-undang sedia ada daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya juga minta agar semua pihak termasuk NGO untuk melihat kepada lacuna in the law iaitu dalam undang-undang sedia ada yang boleh kita tambah baik,” katanya.

 — BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here