Kes rasuah RM2.8 juta: Selasa depan tentukan tarikh bela diri Bung Moktar, Zizie Ezette

0
190

MAHKAMAH Sesyen di sini akan menetapkan pada Selasa depan tarikh perbicaraan bela diri Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Peguam mewakili Zizie Izette, Datuk K Kumaraendran, berkata tarikh itu akan diputuskan Hakim Rozina Ayob yang memerintahkan pasangan terbabit membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

“Saya tidak tahu lagi bila prosiding bela diri itu. Saya akan hadir mahkamah pada 3 Januari depan dan di sana akan diputuskan tarikh terbabit. Saya juga ingin memaklumkan pihak pembelaan tidak membuat sebarang permohonan baharu menjelang pendengaran minggu depan,” katanya pada BH, hari ini.

Pada 9 Disember lalu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Zizie Izette gagal menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid, dilaporkan membenarkan bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How terhadap permohonan semakan yang difailkan pasangan itu.

Pada 17 Oktober lalu, Chin How mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu dengan alasan semakan berkenaan tidak sepatutnya difailkan melalui notis usul.

Kaedah pemfailan notis usul itu didakwa salah dan bertentangan Seksyen 35 serta 36 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dibaca bersama Seksyen 325 dan 326 Kanun Acara Jenayah.

Pada 2 September lalu, Bung Moktar, 64, diperintah membela diri atas tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA itu didakwa menerima rasuah daripada perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga perlu membela diri atas tuduhan menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada seorang lagi perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 44, pula diarah membela diri atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung tuduhan sama di tempat, tarikh dan masa sama.

Seramai 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula 2 Januari 2020.

Saksi termasuk bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; bekas Pengurus Besar Pelaburan FELCRA, Adnan Yusof; Ahli Lembaga Pengarah FELCRA, Dr Habibah Suleiman dan dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here