Remaja hilang ditemui selamat, polis tahan 3 suspek

0
213

TIGA individu termasuk seorang wanita ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes remaja perempuan yang hilang selepas keluar dari inap desa disewa keluarganya di Taman Salak Maju, Sepang, Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof, dua daripadanya, lelaki dan wanita berusia 19 dan 18 tahun ditahan dalam serbuan pertama di sebuah unit kondominium di Seksyen 13, Shah Alam.

Katanya, mangsa yang berusia 13 tahun kemudiannya berjaya diselamatkan dalam serbuan itu.

“Kami turut menahan seorang lagi lelaki berusia 21 tahun di sebuah pasar raya di Seksyen 13 Shah Alam jam 9.30 malam tadi,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Beliau berkata, polis turut merampas tiga telefon bimbit, sebuah motosikal Yamaha R15 yang dipercayai digunakan ketika kejadian, dua baju, dua seluar dan satu topi keledar.

“Hasil soal siasat awal dilakukan mendapati kedua-dua suspek lelaki mengaku terbabit dalam kes itu.

“Mereka juga mengaku menaiki motosikal bersama ke kawasan berdekatan dengan inap desa berkenaan untuk berjumpa dengan mangsa,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada suspek lelaki kemudian menaiki kenderaan e-hailing bersama mangsa, manakala rakannya (suspek kedua) menaiki motosikal pulang ke kediaman di Seksyen 13, Shah Alam.

“Suspek wanita pula tidak mengaku terbabit dalam kes itu dan berada bersama dua suspek lelaki serta mangsa di lokasi tangkapan.

“Semakan dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here