APMM P.Pinang tahan dua bot bersama 11 nelayan asing

0
561

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan bersama 11 kru warga asing kerana menangkap ikan di perairan negara minggu lepas.

Pengarah APMM Pulau Pinang Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata bot APMM yang sedang membuat rondaan Op Tanjung menahan bot pertama milik nelayan tempatan kelas C di kedudukan 14 batu nautika barat Pulau Kendi pada 4.17 petang, 22 Dis lepas.

“Pemeriksaan ke atas bot yang berpangkalan di Pulau Pangkor, Perak itu dikendalikan oleh lima kru iaitu tiga warga Myanmar dan dua warga Thailand yang kesemuanya lelaki berumur 19 hingga 52 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abd Razak berkata bot kedua iaitu bot nelayan asing berpangkalan di Belawan, Indonesia bersama enam lelaki berumur 24 hingga 42 tahun yang sedang menangkap ikan, ditahan pada kedudukan 52 batu nautika barat daya Pulau Kendi kira-kira 12.10 tengah hari pada 24 Dis.

“Kesemua 11 warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri dan permit kerja itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat menurut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here