Operasi ambang Krismas, 149 saman dikeluarkan JPJ Pulau Pinang

0
214

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 149 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan sempena sambutan Krismas di sini, malam Sabtu lalu.

Operasi yang berlangsung selama lima jam bermula pukul 10 malam itu menyasarkan pengguna yang melalui plaza tol Jambatan Sultan Abdul Halim Muazzam Shah (JSAHMS) atau juga dikenali jambatan kedua.

JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan, operasi terbabit dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang.

Katanya, sepanjang operasi itu, pelbagai kesalahan dikesan dilakukan oleh pengguna jalan raya termasuk tidak memiliki lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan lnsurans.

“Turut dikesan ialah kesalahan menggunakan cermin (kereta) gelap, nombor pendaftaran ‘fancy’, tidak menampal pelekat P selain kesalahan teknikal seperti mengubahsuai ekzos dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, JPJ negeri menasihatkan para pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan undang-undang semasa memandu.

Pada masa sama, mereka turut diingatkan supaya memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat semasa di jalan raya bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here