Wan Saiful bidas MP PH menjerit dalam Dewan Rakyat, luar dewan saman kiri kanan

0
202

PERIKATAN Nasional (PN) menganggap ahli parlimen kerajaan bertindak keterlaluan terhadap pihak lain sama ada di dalam Dewan Rakyat atau di luar parlimen.

Menganggap tindak-tanduk beberapa ahli parlimen PH sebagai membimbangkan, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata dia memasuki Dewan Rakyat dengan harapan yang tinggi.

Hal itu kerana katanya yang memenangi kerusi Tasek Gelugor pada PRU baru-baru ini, Dewan Rakyat sepatutnya menjadi tempat dasar digubal, serta cadangan kerajaan dibahas secara rasional dan matang.

“Tetapi sikap beberapa ahli parlimen PH menyebabkan saya bimbang apa yang akan berlaku kepada politik Malaysia pada masa depan.

“Dalam Dewan (Rakyat), mereka menjerit-jerit menghalang perbahasan, di luar Dewan mereka menyaman kiri dan kanan untuk menghalang kritikan,” katanya hari ini, lapor MalaysiaKini.

Kenyataan Wan Saiful itu merujuk kepada hari pertama persidangan Dewan Rakyat pada 19 Dis lalu yang menyaksikan pertengkaran membabitkan blok kerajaan dan pembangkang.

Antaranya membabitkan kenyataan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak seharusnya dilibatkan dalam usul percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan itu mendorong Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dengan marah berkata, Anwar cukup berani menguji keabsahannya di parlimen dan berbeza sama sekali berbanding pemimpin PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, suatu ketika dulu.

Beberapa perkataan kasar turut keluar dari mulut ahli parlimen terbabit sehingga mendorong speaker, Datuk Johari Abdul, terpaksa campur tangan untuk mengawal keadaan.

Isu saman pula dipercayai merujuk kepada langkah Anwar – secara peribadi – mengemukakan saman ke atas beberapa pemimpin PN, khususnya PAS, ekoran dakwaan yang dibuat mereka.

Pemimpin pembangkang yang sudah disaman Anwar ialah Muhyiddin sendiri, selain Menteri Besar Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria.

Kata Wan Saiful dia yakin generasi baru di negara ini secara umumnya mahukan politik yang lebih matang dan sihat.

Bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu berkata tindakan ahli parlimen yang menjerit, memekik dan melolong tidak bertempat itu memang mengejutkannya.

“Cukuplah. Marilah kita jadikan Dewan Rakyat sebagai dewan yang benar-benar mulia. Kita berbahas secara mulia. Bawa idea secara mulia. Kritik lawan pun biarlah secara mulia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here