Tukang tilik warga India dituduh tipu lebih RM500,000

0
171

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG tukang tilik warga India didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas dakwaan menipu seorang kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit.

Bagaimanapun, tertuduh, N. Prakash, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu M. Punitha, 59, dengan memperdaya wanita itu untuk mempercayai bahawa dia boleh mengubati penyakit dan menilik nasib hingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM516,450.

Kesalahan itu dilakukan antara 23 Mac hingga 18 Oktober lalu di No. 20 Lorong Perda Selatan 2, Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun selain disebat dan dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam, R. Kumarappan.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan pasport miliknya diserahkan kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri setiap Isnin, dua minggu sekali kepada pengawai penyiasat sehingga kes tersebut selesai.

Mahkamah turut menetapkan 31 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang tukang tilik diculik oleh sekumpulan individu kerana terlibat dengan unsur penipuan sebelum diselamatkan sepasukan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kulim, Kedah pada 11 November lalu.

Ketika diselamatkan, lelaki tersebut dalam keadaan masih dirantai di bahagian kaki serta mengalami luka sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurut polis, suspek yang menculik tukang tilik itu juga telah menghubungi keluarga lelaki terbabit dan meminta wang tebusan sebanyak RM700,000.-SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here