Tukang gunting didakwa menyamar anggota polis

0
204

SEORANG tukang gunting rambut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulim, hari ini, atas pertuduhan menyamar sebagai pegawai polis bagi mendapatkan RM5,000 sebagai memperdaya mangsa agar boleh membebaskan seorang tahanan lokap.

Tertuduh, Premantharan Pillai Vijayantharan, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mirza Mohamad.

Astro Awani melaporkan, mengikut pertuduhan, tertuduh memperdaya Munesswary Maniam, 47, untuk mempercayai dia sebagai pegawai polis dan akan membebaskan tahanan lokap dengan menyerahkan wang sebanyak RM5,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Kulim dengan menggunakan nombor akaun atas nama Malathi Kesavan, 24, pada 11 Disember lalu pada sekitar pukul 3.21 petang.

Majistret, kemudian memerintahkan tertuduh dibenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Januari depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah seksyen yang sama.

Mahkamah sama turut memerintahkan tertuduh kedua, Malathi Kesavan membayar denda RM900 atau penjara satu bulan setelah mengaku salah membenarkan akaun bank digunakan tertuduh pertama yang dipercayai sebagai pegawai polis.

Mengikut pengakuan, ibu kepada seorang anak itu menyedari akaun bank miliknya digunakan untuk tujuan kemasukan wang sebanyak RM5,000 namun, tidak dapat memberi keterangan dari mana diperolehinya.

Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nursalwati Wan Kamarul Ariffin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here