Rais harap kerajaan kekal komited terus laksana transformasi Parlimen

0
135

YANG Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berharap kerajaan baharu yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal komited untuk melaksanakan transformasi Parlimen yang telah diusahakan sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, transformasi itu antara lain akan meminda beberapa akta berkaitan Parlimen, antaranya Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan Kod Etika Ahli-Ahli Parlimen.

Katanya, langkah berkenaan membolehkan satu peraturan diwujudkan bagi memastikan kelakuan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat adalah lebih berhemah dan dihormati.

“Menerusi pemerkasaan akta tersebut, kadar bayaran denda yang lebih tinggi boleh dikenakan kepada mana-mana pihak yang tidak memberi kerjasama di bawah Parlimen atau yang melanggar peraturan Dewan,” menurut Rais dalam kenyataan, hari ini memetik laporan BH Online.

Kenyataan itu turut menyebut Rais menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh di pejabatnya di sini hari ini, dan mereka berdua turut membincangkan isu transformasi Parlimen.

Menurut Rais, denda yang dikenakan bagi Ahli Parlimen yang gagal menunaikan tanggungjawab di bawah akta berkenaan buat masa ini, iaitu RM1,000 adalah terlampau sedikit.

“Kertas Kabinet mengenai perkara ini telah pun diluluskan semasa JPM (Parlimen dan Undang-Undang) diterajui Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Justeru kepemimpinan yang baharu ini diharap akan meneruskan usaha tersebut demi kepentingan institusi legislatif negara,” katanya.

Rais menjelaskan, perkara itu telah disuarakan kepada Perdana Menteri baru-baru ini dan sedang dalam perhatian yang khusus.

Inisiatif untuk mentransformasikan Parlimen yang dimaksudkan itu, pertama kali dibincang dan diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September 2021. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here