4 nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan  

0
184

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan bot nelayan asing Indonesia pukul 11 pagi semalam selepas didapati menceroboh perairan negara.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan bot nelayan asing Indonesia itu di kedudukan 26 batu nautika barat Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung.

Ujar beliau, pemeriksaan ke atas bot nelayan asing Indonesia itu mendapati, bot terbabit berpangkalan di Pantai Labu, Sumatera Utara dan dikendalikan empat kru warga Indonesia berumur antara 35 hingga 50 tahun.
 
“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Menurut beliau, bot serta kru ditahan termasuk hasil laut dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.
 
Dalam pada itu Abd. Razak menegaskan, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here