22 kotak ginseng dikirim melalui pos dari China dirampas

0
197

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

JABATAN Pemeriksaan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas sebanyak 22 kotak ginseng yang dihantar melalui pos dari China dalam pemeriksaan di sebuah pejabat pos di Simpang Ampat, Nibong Tebal.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, pemeriksaan pada Rabu lalu itu hasil kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan ginseng seberat 28 kilogram (kg) itu milik warganegara tempatan yang dibeli secara online dari negara China.

“Kesemua ginseng yang dianggarkan bernilai RM3,600 itu dibawa masuk bagi kegunaan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, perbuatan mengimport ginseng tanpa permit import Maqis yang sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tambahnya, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Tegas beliau, pihaknya akan sentiasa mengambil langkah proaktif bagi isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here