Zool Amali, Dayangku Intan sertai PAS

0
198

HILANG kepercayaan terhadap kepemimpinan tertinggi UMNO, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin, bertindak meletakkan jawatan dan keluar daripada parti itu dengan menyertai PAS.

Turut mengikut jejaknya ialah seramai 50 ahli jawatankuasa dan ahli biasa, khususnya daripada Cawangan UMNO Kampung Rawa Lenggeng.

Turut menyertai PAS termasuk penyanyi terkenal era 80-an, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Dayangku Intan.

Zool Amali, 40, berkata keputusannya menyertai parti itu sudah dibincangkan dalam kalangan ahli jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian serta ahli di peringkat cawangan.

Beliau berkata, pihaknya bersama ahli akar umbi berasa tertipu dengan sikap dan tindakan kepemimpinan parti terutama Presiden, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang bersekongkol dengan gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Saya rasa sudah tidak sesuai lagi untuk berada dalam parti yang penuh dengan kebatilan ini, lari dari prinsip asas perjuangan parti dan tindakan pemimpin UMNO yang cuba mempermainkan suara ahli akar umbi.

“Kami hilang kepercayaan terhadap Presiden UMNO kerana segala tindakan yang beliau buat lari daripada keputusan yang dibuat dalam Persidangan Agung UMNO (PAU).

“Ahli akar umbi rasa sedih dan kecewa dengan tindakan dilakukan kepemimpinan tertinggi parti, jadi sampai bila ahli bawah ini hendak diperkudakan sedemikian rupa,” katanya lapor BH Online.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan borang keahlian menyertai PAS kepada Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Yang Dipertua PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, di kediaman ahli keluarganya di Kampung Rawa Lenggeng di sini, lewat petang tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha PAS Kawasan Seremban, Ishak Yahya; Dayangku Intan dan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard.

Zool Amali yang sinomin dengan panggilan Jebat berkata, tindakannya menyertai PAS bukan hendak mengejar apa-apa jawatan, sebaliknya dibuat dengan ikhlas kerana berasakan UMNO sudah jauh daripada perjuangan asal.

“Tiada mana-mana pihak yang memaksa saya masuk PAS tetapi dengan kerelaan sendiri. Saya tak kisah hilang jawatan kerana berasakan UMNO tidak lagi sesuai,” katanya.

Sementara itu, Dayangku Intan yang keluar PKR pada 2020 berkata, beliau mahu meneruskan perjuangan dalam PAS kerana berpendapat parti itu lebih memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.

Dalam pada itu, Rafiei berpandangan, kehadiran Zool Amali akan dapat menguatkan lagi PAS di negeri ini khususnya di kawasan Seremban terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Apabila ada kemasukan Zool Amali dan rakan-rakan lain untuk bersama dengan PAS, pastinya akan memberi kekuatan kepada parti dalam usaha untuk memenangkan PAS pada PRN nanti, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here