Tiada keperluan meminda, semak semula Sosma – Saifuddin

0
213

MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengulangi pendirian kementeriannya berhubung keperluan untuk meneruskan pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Saifuddin berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk meminda dan menyemak semula akta itu, namun ia bersifat dinamik kerana Parlimen boleh menggubal serta meminda undang-undang berkenaan.

Beliau turut mendedahkan ada menerima panggilan telefon daripada Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo yang menyuarakan pandangan supaya Sosma disemak semula.

“Kalau ditanya sekarang (semak semula Sosma), jawapannya adalah tidak,” katanya pada sidang media ketika Lawatan Rasmi Menteri Dalam Negeri ke Ibu Pejabat Jabatan Sukarelawan Malaysia di Putrajaya, hari ini, lapor Harian Metro.

Pada Selasa, Saifuddin dilaporkan berkata, Sosma masih diperlukan kerana peruntukan undang-undang itu akan membolehkan pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah terancang, terutama membabitkan tangkapan ahli sindiket.

Antara lain, beliau dipetik berkata, pelaksanaan Sosma adalah lebih baik, berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat kerana ia membenarkan prosedur perundangan dibuat susulan penangkapan suspek kes terbabit.

Sementara itu, Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Zaidel Baharudin dalam kenyataannya hari ini berpendapat, Sosma disifatkan rang undang-undang yang sangat berat sebelah, malah kuasa menyeluruh melingkari akta itu membolehkan ia terdedah kepada penyalahgunaan.

Menurutnya, satu undang-undang jauh lebih baik boleh dirangka bagi menangani isu keselamatan bagi memberi kuasa untuk melaksanakan tindakan cepat, namun perlu proses semak dan imbang yang jelas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here