Kerajaan tamatkan perkhidmatan lantikan politik dalam badan berkanun, GLC

0
277

KERAJAAN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memutuskan supaya lantikan politik dalam badan berkanun, syarikat Kementerian Kewangan dan syarikat berkaitan kerajaan ditamatkan perkhidmatan secara serta merta.

Menurut laporan MalaysiaNow, dalam sebuah pekeliling ringkas kepada ketua setiausaha kementerian, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata arahan ini perlu dilaksanakan dengan segera.

“Jemaah menteri dan mesyuarat jemaah menteri pada 14 Disember 2022 telah memutuskan supaya pengerusi dan ahli lembaga pengarah bagi badan berkanun persekutuan/ syarikat menteri kewangan (diperbadankan)/ syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan lantikan politik untuk ditamatkan dengan segera,” kata Zuki dalam pekeliling itu.

Terdahulu, kerajaan diketuai Pakatan Harapan (PH) itu turut menamatkan perkhidmatan pemimpin tertinggi kerajaan.

Ini termasuk, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Asri Hamidin yang dicutikan dari Kementerian Kewangan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah yang “dibersarakan”.

Susulan tindakan ke atasnya, Shafiq dalam sebuah kenyataan, menyelar kempen memburukkan reputasi beliau dan mengatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam “menganiaya” beliau.

Sejak mengambil alih pentadbiran, Anwar mengambil langkah drastik dalam pembentukan Kabinet dengan keanggotaan “lebih kecil” dengan dua timbalan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari Umno dan Datuk Seri Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak.

Keputusan menamatkan perkhidmatan lantikan politik hari ini dilihat sebagai usahanya untuk mengukuhkan peralihan pentadbiran selepas PH berjaya membentuk kerajaan bersama musuh tradisinya Barisan Nasional (BN) selain parti-parti politik dari Sarawak dan Sabah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here