UMNO ‘ke laut’ kalau tiada perubahan barisan kepimpinan

0
254

SEBAHAGIAN pemimpin UMNO mungkin berbangga kerana parti itu yang menjadi tonggak Barisan Nasional (BN) buat kali keduanya terus berada dalam kerajaan walaupun sudah dua kali ditolak rakyat dalam dua pilihan raya umum.

Namun begitu ‘kejayaan’ itu tidak mampu menutupi fakta bahawa dalam PRU-15, rakyat khususnya orang Melayu telah menolak parti dianggap keramat itu. Pencapaian UMNO jauh merosot berbanding dengan PRU-14 yang menyaksikan UMNO hilang kuasa pemerintahan selepas 61 tahun.

Walaupun PRU-15, BN menangi 30 kerusi namun UMNO menguasai 26 kerusi sahaja. Empat lagi kerusi adalah milik MCA dan MIC. Pencapaian 26 kerusi itu adalah paling buruk dalam sejarah UMNO dalam pilihan raya. Bagaimanapun Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi ‘terselamat’ kerana beliau mendapat sokongan daripada bahagian-bahagian termasuklah sayap Wanita UMNO untuk kekal menerajui parti itu. Walaupun ada beberapa orang pemimpin yang mahu Zahid bertanggungjawab atas prestasi buruk UMNO dan BN, namun ia ibarat ‘gigitan semut’ sahaja.

Sepatutnya bukan kata Ahmad Zahid malah keseluruhan barisan kepemimpinan termasuk ketua-ketua sayap perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada UMNO dalam PRU-15.

Bayangkan UMNO hanya menang 26 kerusi dalam pilihan raya itu, tiada satupun kerusi Parlimen di TUJUH NEGERI iaitu Perlis,Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Melaka manakala di Perak dan Pahang, terpaksa mengharapkan ‘ehsan’ Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan negeri.

Daripada 26 kerusi UMNO menang itu, Negeri Sembilan 5 kerusi, Pahang (5 kerusi), Johor (7 kerusi), Perak (2 kerusi) dan Wilayah Persekutuan (1 kerusi).

Pada PRU-14, Barisan Nasional menang 2 kerusi di Perlis, Kedah (2 kerusi), Pulau Pinang (2 kerusi), Perak (11 kerusi, Kelantan (5 kerusi), Terengganu (2 kerusi), Pahang (9 kerusi), Negeri Sembilan (3 kerusi), Melaka (2 kerusi dan Johor (8 kerusi).

Ketika ini ada desakan oleh beberapa ketua bahagian supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak ditandingi dalam pemilihan akan datang. Kalau itu mahu dilakukan, terpulang kepada UMNO tetapi apa yang pasti faktanya orang Melayu sudah menjauhkan diri daripada parti itu.

Keputusan PRU-15 membuktikan orang Melayu mungkin termasuk ahli-ahli UMNO sendiri sudah muak dengan ‘mainan politik’ barisan kepemimpinan parti itu. Paling ketara apabila mereka diperingatkan berkali-kali ‘No Anwar,No DAP’, tetapi kesudahannya BN/UMNO kini berada dalam satu kerajaan dengan Anwar Ibrahim, Pakatan Harapan dan DAP dengan bersandarkan hujah ‘menjunjung titah Agong’.

Soalnya, kenapa UMNO memilih untuk bersama Pakatan Harapan sedangkan mereka ada pilihan untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan Campuran bersama Perikatan Nasional? Usahlah memberi alasan parti-parti di Sarawak mahu bersama PH sedangkan GPS sudah menegaskan bahawa mereka akan menyertai mana-mana gabungan yang BN sertai.

Tetapi tidak mengapalah semua itu sudah menjadi sejarah. Kepemimpinan UMNO pun sudah nampak seronok dan selesa berada bersama-sama dengan Anwar dan DAP dalam ‘satu kapal’, walaupun mereka mengecam dan memaki hamun antara sama lain ‘sehingga tidak ingat dunia’ sebelum dan semasa kempen PRU-15.

Namun soalnya adakah tindakan itu akan menguntungkan politik UMNO bagi jangka masa panjang khususnya berkaitan  sokongan orang Melayu terhadap parti itu?

Statistik keputusan PRU-15 menunjukkan, Perikatan Nasional yang dianggotai dua parti Melayu iaitu Bersatu dan Pas mendapat sokongan 54 peratus orang Melayu, Cina (0.05%), India (0.05%), PH Melayu (11 %), Cina (94%), India (83%) dan lain-lain (66%) manakala Barisan Nasional pula tahap sokongan berdasarkan kepada kaum ialah Melayu 33%, Cina 5%) dan India (16%).

Dalam perbualan penulis dengan pelbagai pihak termasuk penganalisis politik dan ahli UMNO, mereka berpendapat, parti itu perlu diselamatkan daripada terus dibuai ‘mimpi indah’ berada dalam kerajaan yang diketuai oleh Pakatan Harapan.

Jika pemimpin UMNO masih lagi diam, tidak berbuat apa-apa kononnya mahu menjaga ketenteraman dalam parti, teruskanlah tetapi ia akan memungkinkan sokongan rakyat kepada parti itu terus merudum.

Perlu diingat, dulu rakyat khususnya orang Melayu tidak ada pilihan. Mereka hanya ada dua pilihan sama ada menyokong PH atau UMNO (BN). Tetapi sekarang, Perikatan Nasional yang didalamnya ada Bersatu dan Pas boleh menjadi pilihan mereka.

Gabungan Bersatu dan Pas dianggap gelombang baharu dalam politik tanah air, gelombang integriti dan gelombang hijau semakin menggegarkan dan membentuk arus hala tuju  sokongan pengundi-pengundi Melayu dalam pilihan raya, paling ketara pengundi muda turut bersama gelombang tersebut.

Pemimpin  PH dan DAP menyedari ‘ancaman’ itu, justeru masing-masing memainkan peranan tersendiri bagi meranapkan ‘gelombang integriti dan gelombang hijau’ tersebut. Pemimpin PKR membangkitkan soal kononnya wujudnya penyelewengan dana RM600 bilion bagi menjejaskan kredibiliti Bersatu dan Muhyiddin Yassin manakala pemimpin DAP bercakap soal negara Islam bagi menakut-nakutkan orang bukan Islam.

Pemimpin UMNO pula ada yang cuba ‘tumpang semangkuk’ dengan terus memainkan lagu lama, Bersatu mahu menggantikan UMNO dan Perikatan Nasional mahu menggantikan Barisan Nasional. Tiada gunanya terus ‘menjual’ modal basi itu.

Keputusan PRU-15 dan apa yang berlaku selepas pilihan raya itu sudah menjadi bukti, memang Bersatu dan Pas akan menggantikan UMNO dan Perikatan Nasional akan menggantikan Barisan Nasional jika pemimpin UMNO masih lagi belum sedar-sedar dan terus mempertahankan pemimpin yang sudah ditolak oleh rakyat.

Setakat ini, penulis tidak nampak ada pemimpin yang akan menjadi ‘Jebat’ dalam UMNO, kesemuanya ‘bermain cara selamat’ walaupun di peringkat akar umbi sudah menggelupur mahukan sesuatu dilakukan bagi menyelamatkan UMNO.

Kesimpulannya, penulis teringat bendera BN yang dipacakkan di persisiran pantai di sebuah daerah di Kedah, lambat-laun akan ‘ke laut’ juga apabila arus deras. UMNO  juga akan menerima nasib yang sama jika tiada usaha dilakukan bagi memulihkan dalaman parti khususnya melibatkan barisan kepemimpinannya. Keputusan PRU-15 sudah menjadi bukti oleh itu isyarat apa lagi yang UMNO tunggu!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here