Konsultan hartanah mengaku tidak bersalah tipu pinjaman rumah

0
162

SEORANG konsultan hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang hari ini, atas tuduhan memperdaya seorang wanita berhubung pembayaran deposit bagi pinjaman tidak wujud untuk pembelian rumah pada 2018.

Siti Nur Atiqah Baba, 33, yang hadir bertongkat ke prosiding itu didakwa menipu wanita berusia 29 tahun berhubung pembayaran deposit 10 peratus berjumlah RM25,900 dengan curangnya menyatakan pinjaman rumah dari sebuah bank yang tidak wujud telah diluluskan, di sebuah pasar raya di Klang antara 2 hingga 7 Mac 2018.

Siti Nur Atiqah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hanis Zulkapli menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi pertuduhan berkenaan.

Peguam tertuduh R. Nadarajan memohon jaminan dikurangkan ke RM2,000 memandangkan anak guamnya memberi kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan dilaksanakan serta sedang cuti sakit selama dua bulan dan masih mendapatkan rawatan.

Majistret Noorjidah Mohd Jusan kemudiannya menetapkan jumlah jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin manakala sebutan semula kes pada 13 Feb tahun depan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here