Sekularisme tiada tempat dalam politik Melayu-Islam, kata Wan Fayhsal

0
278

AGAMA tidak boleh dipisahkan daripada politik dalam masyarakat Melayu-Islam, kata seorang pemimpin Bersatu.

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata hal ini kerana agama adalah sebahagian daripada falsafah politik masyarakat Melayu-Islam.

“Dalam al-Quran dan sabda Nabi, terdapat banyak rujukan mengenainya. Jadi (kita) tidak boleh sekular dalam pendekatan semasa berkempen,” katanya dalam temu bual dengan BFM.

Beliau ditanya sama ada Perikatan Nasional (PN) akan mengurangkan retorik perkauman dan agama apabila berkempen untuk pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ditanya mengapa Bersatu berdiam diri mengenai kenyataan berbaur perkauman dibuat Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini, Wan Fayhsal berkata komen Hadi sudah ditangani secara dalaman.

“Kami ada membincangkannya dalam mesyuarat. Kami betulkan mereka (PAS),” katanya.

“Sebagai komponen PN, Bersatu cuba sehabis baik untuk menjadi moderator supaya paling tidak, orang ramai tahu kami mendukung negara yang berbilang kaum,” katanya.

Pada Ogos, kenyataan Hadi bahawa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera menjadi punca rasuah mengundang kritikan. Catatannya di Facebook turut memfokuskan kepada golongan tersebut sebagai majoriti yang terlibat dalam rasuah.

Susulan itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki mempertahankan kenyataan Hadi dengan memetik tinjauan sebuah universiti tempatan yang tidak dinamakan yang mendapati 88% daripada 449 orang yang disabitkan kesalahan memberi rasuah antara 2010 dan 2014 terdiri daripada orang bukan Melayu.

Katanya, daripada jumlah peratusan itu, 57.46% berbangsa Cina, 30.51% berbangsa India dan 12.03% orang Melayu.

Wan Fayhsal berkata, walaupun kenyataan Hadi berdasarkan kajian akademik, beliau tidak bersetuju dengan generalisasi itu. Persampelan kajian itu mungkin bermasalah, tambahnya.

“Tetapi (kenyataan) Hadi ada tujuannya, dari segi membangkitkan isu mengenai, sebagai contoh, kegiatan haram di negara kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here