Bekas guru tuisyen didakwa ubah wang haram hasil jual bayi di media sosial

0
232

Seorang bekas guru tuisyen didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown pada Selasa atas pertuduhan penggubahan wang haram hasil daripada kegiatan penjualan bayi pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Jamaliah Ahmad, 62, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Berdasarkan pertuduhan, wanita berkenaan didakwa menerima wang tunai berjumlah RM12,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di lobi sebuah hotel di Jalan Penang kira-kira jam 7 malam pada 15 Disember tahun lalu, lapor BH Online.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2021.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala tertuduh diwakili peguam, Md Yusof Md Idris.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan tiga syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 1 hari bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tertuduh tidak dibenarkan berjumpa atau mengganggu mana-mana saksi sepanjang kes berlangsung.

Mahkamah menetapkan 13 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Berdasarkan fakta kes, dia didakwa menerima seorang bayi perempuan daripada seorang wanita warganegara Indonesia untuk dijadikan anak angkat pada Disember tahun lalu.

Tertuduh kemudiannya telah mengiklankan dalam laman Facebook dikenali sebagai ‘Group Pencarian Anak Angkat’ yang biasanya disertai pasangan yang ingin mengambil anak angkat.

Berikutan itu, pada 15 Disember 2021 bertempat di lobi sebuah hotel suspek dikatakan telah diberi wang tunai sebanyak RM12,000 oleh sepasang suami isteri yang datang dari Terengganu yang mahu mengambil bayi berkenaan sebagai anak angkat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here